ADUN Seri Delima Ditahan Polis

Georgetown – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

Rayer berkata, polis memintanya memberi keterangan pada kira-kira jam 3 petang dan kemudian diberitahu mengenai tangkapan tersebut.
 
“Saya hanya diberitahu bahawa ia di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan, 1966,” katanya sambil menambah mereka juga memberitahunya yang beliau perlu tinggal semalaman di ibu pejabat polis itu.

Rayer ditahan kira-kira jam 6 petang tadi ketika sedang berada di dalam Ibu Pejabat Daerah (IPD) Timur Laut untuk membantu 153 anggota PPS yang direman.

Penahanan Rayer yang juga seorang peguam disahkan oleh Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid.

“Saya juga difahamkan Rayer merupakan timbalan Pengerusi PPS Pulau Pinang, kami tahan beliau ketika hadir menguruskan pembebasan anggota PPS yang ditahan reman,” katanya di sini hari ini.

Mior Faridalatrash berkata sehingga pukul 6.30 petang ini, polis telah membebaskan 30 anggota PPS termasuk Pengerusinya Phee Boon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri.

“Kami menjangkakan akan membebaskan semua anggota PPS yang ditahan malam ini,” katanya.

Beliau ditahan ketika polis sedang membuat persediaan membebaskan pengerusi Jawatankuasa Persekitaran dan Kesejahteraan Masyarakat, Phee Boon Poh dan semua 155 anggota PPS menjelang tengah malam ini.

Rayer, salah seorang peguam membantu anggota PPS yang ditahan semalam, hadir di balai polis memberi kenyataan pada jam 3 petang ini dan terus ditahan.

Beliau dimaklumkan polis sedang disiasat di bawah Akta Pertubuhan.

Minggu lepas Rayer berdepan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan perkataan “celaka” kepada tiga pemimpin Umno.

Rayer didakwa di mahkamah sesyen di Pulau Pinang hari ini di bawah Seksyen 4(1)(b) kerana mengeluarkan perkataan itu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada jam 9.30 pagi 20 Mei.

Wakil rakyat DAP itu turut dituduh mengucapkan perkataan itu dalam satu ceramah dua hari kemudian, semasa pilihan raya kecil Bukit Gelugor.

Semalam, polis menahan 156 anggota PPS termasuk Phee kerana ingkar amaran supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas pasukan itu didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Dua puluh satu daripada mereka dibebaskan malam tadi manakala selebihnya direman sehari hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *