Tukar Peguam Negara Baharu

Shah Alam – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor (PPUNS) hari ini menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memberikan penjelasan kepada kes-kes yang tertangguh melibatkan sensitiviti agama dan kaum di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Zainal berkata pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara begitu fobia untuk mengambil tindakan terhadap kaum Cina yang menghina agama Islam dan orang Melayu.

Beliau juga menyuarakan rasa kecewa terhadap sikap pihak berkuasa yang begitu pantas membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap kes-kes yang melibatkan orang Melayu terhadap agama dan bangsa lain.

Mengambil contoh satu kes yang diklasifikasikan sebagai samseng jalanan terhadap seorang wanita yang dituduh bernama Kiki, Zainuri merasa amat mengejutkan tindakan pihak berkuasa yang mengamalkan pendakwaan terpilih.

“Tanpa ada laporan polis, Kiki disiasat dan dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan dikehendaki melakukan kerja-kerja kemasyarakatan. Siasatan, pendakwaan dan hukuman yang dijatuhkan sangat pantas.

“Sama juga dengan kes yang Ustaz Shahul yang dikatakan membuat kenyataan berunsur perkauman dan menghina masyarakat India. Begitu cepat beliau dipanggil pihak berkuasa untuk siasatan.

“Sekiranya Peguam Negara gagal melaksanakan perkara ini, sudah tiba masanya YAB Perdana Menteri mencari pengganti yang boleh menjaga kepentingan rakyat dan keharminian negara dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang lelaki berbangsa Cina bernama Kelvin Yip di laman Facebook yang jelas menghina agama Islam.

Kelvin dalam status yang dimuat naik di laman sosialnya itu, telah menggunakan perkataan lucah dan kesat, ketika meluahkan rasa tidak puas hati terhadap laungan takbir Hari Raya Aidilfitri yang berkumandang pada jam 6.45 pagi.

Setelah mendapat kecaman daripada pelbagai pihak, Kelvin kemudiannya memohon maaf dan memadamkan kenyataan yang mengguris hati umat Islam daripada laman Facebooknya.

Exco Pemuda Umno Malaysia , Arman Azha Abu Hanifah yang turut berada di situ menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dengan segera.

“Setakat mohon maaf tidak cukup. Kami mahu Kelvin diambil tindakan seperti mana kes-kes yang lain,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *