IFtAR Bersama Tun Dr Mahathir

DAN orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah berserta orang-orang yang berbuat baik. (ar-Rum: 69)

Bagi mewujudkan suasana ukhuwah Islamiah di bulan Ramadan yang penuh berkat, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Dipertua Perkim dan Kelab Perkim Universiti bertempat di Dewan Merak Kayangan, Balai Felda, Jalan Gurney, Kuala Lumpur, awal Julai lalu.

Program itu telah dihadiri lebih 300 tetamu yang terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Saudara Muslim dan penghuni Asrama Darul Falah (Asdaf) Perkim.

Malah ia turut disertai Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (Mampu) yang terdiri daripada Kelab Perkim Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Taylor.

Pada majlis itu, wakil Yang Dipertua Kelab Perkim Universiti, Mohamad Syubhana Mufti Mohamad Noordin dalam ucapannya menyuarakan kesyukuran kerana diberikan peluang dan kepercayaan dalam menjayakan segala aktiviti Kelab Perkim, sama ada di dalam mahupun di luar kampus hingga ke perkampungan Orang Asli.

“Kami yakin dan percaya bahawa Perkim amat sesuai dengan kehendak kami yang menginginkan aktiviti dakwah diadakan walaupun pada masa yang sama kami masih menuntut ilmu di universiti dan kolej.

“Melalui Perkim yang kini dipimpin oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kami akan menyokong dan membantu Perkim dalam melaksanakan aktiviti atau dasar demi membangunkan Islam, sekali gus kami bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Perkim yang banyak mendidik dan membantu daripada sudut ilmu, nasihat dan kewangan dalam mengadakan program,” jelas Syubhana dari Kelab Perkim UUM.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, kehadiran generasi baharu adalah daripada suntikan semangat dan idea daripada Yang DiPertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di mana beliau ingin melihat kesinambungan usaha-usaha Perkim melalui Kelab Perkim Universiti.

“Saya percaya bahawa generasi ini sudah bersedia untuk melaksanakan tugas-tugas dan amanah yang diberikan dari semasa ke semasa walaupun Perkim pada masa ini mungkin terpaksa mengumpulkan usaha untuk mendapatkan kekuatan dan semangat,” jelasnya.

Jelasnya lagi, beliau berharap menerusi perjumpaan itu, ahli-ahli kelab dapat mendengar dan mengambil saranan daripada amanat Tun Dr. Mahathir.

Tun Dr. Mahathir di dalam ucapannya menyarankan agar umat Islam negara ini seharusnya sedar dengan nikmat keselesaan, keharmonian yang dikecapi, jika hendak dibandingkan dengan segelintir umat Islam di luar sana yang terpaksa mengharungi kegetiran dalam kelangsungan hidup, apatah lagi dalam bulan yang mulia sebegini. Mereka sentiasa dihimpit penindasan dan kezaliman pihak yang tidak berperikemanusiaan.

Pesan Tun Dr. Mahathir agar umat Islam kembali kepada al-Quran dan hadis kerana ia merupakan catatan wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW untuk sekalian manusia. Selagi umat Islam berpegang kepada dua sumber ini, Allah memberikan jaminan kejayaan di dunia dan di akhirat.

“Saya berharap sekolah-sekolah tahfiz tidak sahaja berperanan menghasilkan penghuffaz tetapi juga menjadikan mereka memahami isi kandungan al-Quran. Kalau dibaca tanpa pengetahuan, ia tidak akan menjadi pemandu kepada kita.

Al-Quran adalah panduan utama bagi agama Islam sebab itu harus memahami isi kandungan al-Quran lebih daripada hanya membaca dengan suara yang enak tetapi kita tidak memahami isi kandungannya.

Beliau berharap, kerjasama Perkim dengan generasi muda adalah langkah proaktif demi membentuk generasi pelapis yang berkualiti, sekali gus dapat menarik lebih ramai kepada agama Islam.

Sebelum itu, Tun Dr. Mahathir telah menyampaikan sijil penghargaan dan wang pengurusan berjumlah RM500 kepada wakil setiap kelab sebelum hadirin menikmati juadah berbuka puasa dan diikuti solat berjemaah serta menunaikan solat sunat tarawih.

Majlis berbuka puasa itu turut disajikan dengan tayangan video korporat Perkim dan persembahan multimedia aktiviti Kelab Perkim Universiti.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua Perkim 1, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Naib Yang Dipertua Perkim 2, Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah; Naib Yang Dipertua Perkim 3, Datuk Dr. Mustapha Ma; Naib Yang Dipertua Perkim 4, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad; Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor; Bendahari Kehormat Perkim, Tan Sri Datuk Dr. Muhammad Rais Abdul Karim dan Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa dan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *