Radhi OAG Teruja Bila Isteri Berbadan Dua

Tiada apa yang lebih menggembirakan hati seorang lelaki selain daripada bergelar suami dan bapa. Itulah perasaan yang bermain di benak Radhi OAG, 37, apabila mendapat tahu tentang usia kandungan isterinya, Nur Shahira Ayu, 20, yang kini sudah menjangkau dua bulan.

Ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, Radhi atau nama sebenarnya, Mohd. Radhi Razali berkata, dia berasa begitu teruja untuk menimang cahaya mata baharu kerana kali terakhir dia menerima kelahiran seorang anak adalah kira-kira 10 tahun yang lalu.

Bernikah pada 4 April lalu, Radhi turut berkongsi mengenai perubahan besar yang dialaminya sejak Ayu berbadan dua. Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Radhi.

Kosmo!: Tahniah Radhi atas berita kehamilan Ayu. Bagaimanakah perasaan anda apabila diberitahu tentang perkara tersebut?

RADHI: Saya berasa sungguh gembira apabila Ayu kini sudah berbadan dua. Pada masa yang sama, saya juga berasa sungguh berdebar-debar.

Mengapakah anda berasa sebegitu?

Saya menerima kelahiran anak pertama, Muhammad Rifdhi Muslim, 9, bersama bekas isteri saya kira-kira 10 tahun lalu. Jadi, perasaan yang saya rasa sekarang lebih kurang sama seperti apa yang saya rasa dulu.

Bagaimanakah keadaan Ayu sekarang?

Isteri saya berada dalam keadaan yang sihat. Namun, simptom alahan telah mula keluar. Selain itu, dia juga telah menunjukkan tanda-tanda mengidam.

Makanan apakah yang diidamkan oleh isteri anda?

Sejak kebelakangan ini, isteri saya teringin minum air Coca-Cola. Selain itu, dia juga turut mengidam mahu minum air kelapa. Namun, atas sebab kesihatan, saya tidak benarkan dia mengambil minuman seperti itu. Akhirnya, saya sendiri yang minum air tersebut! (Sambil ketawa).

Bagaimanakah reaksi Rifdhi tentang perkara ini?

Dia juga berasa sungguh gembira kerana bakal mendapat adik baharu.

Khabarnya, anda teringin untuk mendapatkan cahaya mata perempuan. Benarkah dakwaan tersebut?

Rasa untuk mendapatkan anak perempuan itu ada kerana saya sudah mempunyai zuriat lelaki. Namun, semuanya atas rezeki Allah. Apa jantina sekalipun saya akan terima seadanya.

Anda merupakan seorang penyanyi. Bagaimanakah anda mahu membahagikan masa untuk menjaga isteri yang sedang hamil?

Setakat ini, isteri saya tidak memerlukan sebarang penjagaan rapi. Dia sering mengikuti saya ke studio apabila ada kelapangan. Jika saya bekerja dan berasa sunyi, saya akan menghantar dia ke rumah kakaknya. Namun, saya agak risau kerana tidak lama lagi saya akan mula sibuk untuk merakamkan lagu bagi album terbaharu.

Boleh cerita sedikit mengenai album tersebut?

Kali terakhir saya mengeluarkan album kira-kira lapan tahun yang lalu bersama kumpulan OAG. Pada pendapat saya, sudah tiba masanya saya hadir dengan album baharu. Album yang bakal mengandungi sembilan buah lagu ini mungkin akan siap sepenuhnya awal tahun hadapan.

Adakah anda akan menggunakan nama Radhi OAG sebagai nama pentas walaupun telah bergerak secara solo?

Ya. Peminat saya mengenali saya dengan nama Radhi OAG dan saya akan terus menggunakan nama tersebut. – Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *