Gelatin BABI Dalam Produk Tetap Haram – Jakim

Putrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menjelaskan bahawa produk makanan mengandungi gelatin babi yang menjalani proses transformasi atau istihalah adalah tetap haram.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata, hukum mengenai perkara tersebut adalah sejajar dengan ketetapan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia.

“Dalam hal ini sebenarnya dakwaan mengatakan pandangan itu adalah pandangan daripada ulama Dr. Yusof Qaradawi tetapi ia hanya sebaran dalam media sosial sahaja, kesahihan pendapat berkenanan juga masih diragui tetapi dari sudut pensijilan halal Jakim masih mengekalkan bahawa sumber haiwan mestilah dari sumber yang halal,” tegasnya.

Semalam, pendakwah bebas, Dr Zaharuddin Abd Rahman meminta Jakim menjawab tiga perkara berkaitan isu gelatin babi yang menjalani proses transformasi atau istihalah bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam.

Dr. Zaharuddin yang juga Presiden Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid) berkata, pertama, sama ada keputusan hukum yang dipilih untuk rakyat Malaysia dalam hal istihalah najis ‘aini seperti babi adalah suci atau tidak.

Menurut Dr. Zaharuddin, ini kerana ulama figh mazhab berbeza ijtihad dalam hal tersebut.

“Kedua, sama ada proses istihalah (tranformasi) unsur babi boleh berlaku sebelum menjadi gelatin di negara ini dan ketiga, sama ada istihalah elemen najis kepada suci dalam produk selain perubatan boleh diterima atau tidak?

“Setahu saya, Majlis Fatwa Kebangsaan pernah mengeluarkan fatwa dalam hal ini pada 1999 mengenai barangan, makanan dan minuman yang diproses melalui kaedah bio-teknologi DNA babi, yang diputuskan haram dan bercanggah dengan hukum syarak,” kata Dr. Zaharuddin lagi.

Hakimah berkata, sesuatu produk makanan atau minuman yang menguna pakai ramuan daripada bahan daripada haiwan wajib datang dari sumber yang halal.

“Ia selari dengan keputusan Fatwa Kebangsaan apabila sesuatu produk menguna pakai ramuan daripada bahan dari haiwan ia hendaklah datang dari sumber yang halal. Jadi haiwan halal mesti disembelih dan haiwan haram memang sudah tentu kita akan menolaknya lah,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin meminta umat Islam mengabaikan fatwa ulama, Dr. Yusof mengenai hukum menggunakan gelatin babi kerana ia tidak sesuai dipraktikkan di negara ini.

Abd. Shukor berkata, ini kerana pendapat ulama tersebut tetapi tidak boleh diamalkan di Malaysia kerana di negara ini mudah untuk mendapatkan makanan halal dan tidak mengalami darurat.

Pada Sabtu lalu, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong pandangan Dr Yusuf bahawa gelatin atau DNA yang diperolehi daripada babi boleh dianggap halal jika ia telah melalui proses transformasi, mengikut konsep Islam istihalah.

Bagaimanapun, pendapat Mohd. Asri dan fatwa Dr. Yusof itu ditolak oleh beberapa ulama termasuk pendakwah bebas, Kazim Elias yang berpendapat umat Islam perlu berpegang teguh kepada ketetapan keempat-empat mazhab dalam Islam yang mengatakan apa sahaja berkaitan babi adalah haram.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *