Pendelela Tak Gusar Dengan Kemampuan Rakan Seperjuangan

Kuala Lumpur: Penerjun terbaik negara, Pandelela Rinong tidak gusar kemampuan rakan seperjuangan yang lain malah dia yakin keupayaan barisan penerjun untuk terus mencabar kuasa besar China.

Bagi Pandelela, apa yang penting bagi dirinya bukan memikirkan siapakah bakal menjadi penggantinya kerana skuad terjun negara mempunyai ramai atlet berbakat biarpun menyedari peluang atlet negara menewaskan penerjun China amat sukar.

Katanya, dia hanya perlu fokus kepada terjunan dan memperbaiki aksi dari masa ke semasa terutama terus konsisten dalam terjunan.

“Memang kita semakin menghampiri penerjun China, tapi mereka memiliki banyak kelebihan. Sekiranya seorang penerjun mereka berdepan masalah, mereka mempunyai ramai pengganti dan penguasaan tahap kesukaran terjunan adalah sama rata.

“Tambahan pula mereka menggunakan kelebihan susuk tubuh yang kecil itu untuk menguasai setiap terjunan.

“Namun saya sedikitpun tidak bimbang mengenai penerjun negara kerana saya yakin kita juga mempunyai ramai penerjun berbakat seperti Cheong Jun Hoong dan Nur Dhabitah Sabri,” katanya yang merangkul pingat gangsa di Sukan Olimpik London dalam acara 10m platform individu.

Pandelela selepas ini akan meneruskan aksi pada Kejohanan Siri Terjun Dunia FINA selepas menghadiahkan tiga perak dan satu gangsa di dua siri terdahulu yang berlangsung di China dan Dubai.

Dia yang akan bergandingan bersama Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama seterusnya akan beraksi di London dari 25-27 April diikuti Russia (2-4 Mei), Kanada (30 Mei-1 Jun) sebelum menutup tirai di Mexico pada 6-8 Jun. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *