21 Daripada 28 Kawasan Banjir Di Hulu Langat Dah Ada Air

KUALA LUMPUR -Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air di 21 daripada 28 kawasan terjejas di Hulu Langat pulih sepenuhnya pagi tadi.

Sebelum ini Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dihenti tugas akibat peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan Ahad lepas.

Hari ini Air Selangor memaklumkan, masalah teknikal di LRA telah diselesaikan dan ia juga sudah mula beroperasi.

Bagaimanapun katanya, ia sedang berusaha memastikan loji dapat beroperasi pada kapasiti yang optimum.

“Air Selangor kini sedang berusaha sebaik mungkin untuk memastikan loji dapat beroperasi pada kapasiti optimum dan bekalan air bersih disalurkan semula kepada pengguna terjejas secara berperingkat hingga ia pulih sepenuhnya.

“Setakat jam 6 pagi tadi, bekalan air di 21 daripada 28 kawasan terjejas di Hulu Langat telah pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat

Kawasan yang belum pulih termasuk Taman Bukit Sungai Long, Taman Bukit Suria, Taman Sejati, Taman Sinar Harapan Cheras, Taman Taming Indah, Taman Tropicana Cheras dan Taman Wira Heights.

Menurut Air Selangor, bantuan alternatif melalui lori tangki masih digerakkan ke kawasan terbabit dengan memberi keutamaan kepada premis yang kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

“Orang ramai diminta bekerjasama mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka ketika mendapatkan bekalan air daripada lori tangki ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh merujuk aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pengguna juga digalakkan mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.